Mesyuarat Pertukaran Tahunan dan Program Sosial antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Negara Brunei Darussalam (NBD) serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura diadakan bermula 12 hingga 15 Mei 2025.
Seramai 13 orang delegasi dari Republik Singapura tiba di NBD bagi menghadiri Mesyuarat Pertukaran Tahunan dan Program Sosial pada kali ini.
Sehubungan dengan itu, sesi pembukaan Mesyuarat Pertukaran Tahunan dan Program Sosial berkenaan berlangsung pagi tadi di Dewan Serbaguna, Aras 6, KHEDN, di sini.
Pada sesi pembukaan berkenaan, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), KHEDN, NBD, Awang Salminan bin Haji Burut; Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, NBD, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad; serta Setiausaha Tetap, Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Aubeck Kam, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Mesyuarat Pertukaran Tahunan, menekankan beberapa perkara penting termasuk usaha memerangi penipuan, penyalahgunaan dadah dan langkah pencegahannya, menangani penyalahgunaan dadah pengurusan penjara serta hasil pemulihan, dan bidang kolaborasi masa depan yang berpotensi.
Kedua-dua negara bersetuju untuk meneroka peluang-peluang bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia ada di bawah Letter of Intent yang ditandatangani di antara JPM, NBD dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura pada 2014 dan Letter of Intent di antara KHEDN, NBD dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura yang dimeterai pada 2015.
Salah satu cadangan utama yang dibincangkan pada mesyuarat kali ini termasuk penubuhan sebuah Kumpulan Kerja bagi mengenal pasti inisiatif-inisiatif kerjasama baharu seperti program penempatan pegawai-pegawai daripada agensi-agensi yang berkenaan di NBD dan Republik Singapura.
Pada akhir acara pagi tadi, delegasi Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura juga berpeluang untuk melihat produk-produk tempatan di Jualan Gerai Pop-Up di KHEDN.
Semasa berada di NBD, para delegasi juga akan menyertai program pertukaran sosial dan budaya.
Tahun ini menandakan Mesyuarat Pertukaran Tahunan kali keenam diadakan antara JPM, NBD dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, serta kali kelima antara KHEDN, NBD dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura.
Mesyuarat Pertukaran Tahunan berkenaan berperanan sebagai platform utama untuk memperkukuh kerjasama strategik antara NBD dan Republik Singapura.
Melalui kerjasama berkenaan, kedua-dua negara dapat meningkatkan keupayaan serta kepakaran sumber manusia, di samping memupuk pertukaran pengalaman dan amalan terbaik yang bermanfaat untuk pembangunan bersama.
Sumber berita Pelita BruneiSumber foto InfoFoto